Isu Jurang Perbezaan
Pencapaian Murid Antara Bandar Dengan Luar Bandar
Apakah maksud
jurang perbezaan? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah jurang membawa
maksud lembah yang dalam, kehidupan yang susah dan perbezaan yang memisahkan
sesuatu dengan sesuatu yang lain. Manakala, istilah perbezaan membawa maksud
keadaan atau sifat berbeza. Tambahan pula, bagi istilah pencapaian merujuk
definisi Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sesuatu yang dicapai dan sesuatu
yang telah berjaya dilaksanakan dengan usaha dan ketekunan. Secara rumusnya,
jurang perbezaan pencapaian antara murid merupakan keadaan yang berbeza dalam
kalangan murid yang menyebabkan mereka berbeza dalam pencapaiannya. Mengapakah
jurang perbezaan pencapaian ini masih berlaku walaupun negara kita telah
mencapai kesatuan sejak kemerdekaan lagi? Terdapat banyak sebab jurang perbezaan
berlaku. Antaranya, latar belakang para murid, sosioekonomi, jantina, lokaliti
sekolah, gaya pengajaran guru dan gaya pembelajaran murid (Mazdi Marzuki, Jabil
Mapjabil, Rosmiza Mohd Zainol 2014). Dalam tajuk saya ini, saya akan
membincangkan tentang jurang perbezaan pencapaian antara murid di bandar dan
murid di luar bandar.
Kawasan bandar merupakan kawasan yang
sekurang-kurangnya mempunyai penduduk seramai 10000 orang dan 60% penduduknya
berumur 15 tahun ke atas dan menjalankan aktiviti yang bukan pertanian (Jabatan
Perangkaan Malaysia). Contoh kawasan bandar di negara kita adalah bandar Kuala
Lumpur. Kuala Lumpur juga merupakan ibu negara dan bandar terbesar di Malaysia.
Merujuk kepada Jabatan Perangkaan Malaysia lagi, kawasan luar bandar merupakan
kawasan yang majoriti penduduknya menjalankan aktiviti pertanian. Aktiviti pertanian
merangkumi semua aktiviti seperti penangkapan, pengumpulan, pembiakan haiwan
laut, pertanian dan pembalakan. Salah satu contoh bagi kawasan luar bandar di
Malaysia adalah Pakan di Sarawak. Rajah
1 menunjukkan taburan penduduk Malaysia mengikut strata 1970-2020. Walaupun
bilangan penduduk di kawasan luar bandar semakin menurun, jurang perbezaan
pencapaian murid antara bandar dan luar bandar masih muncul sehingga tahun ini.
Rajah 1: Taburan penduduk Malaysia mengikut strata
1970-2020
Berdasarkan berita
daripada MStar (2010), jurang perbezaan pencapaian pelajar Bandar dan luar Bandar
dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini masih ketara. Salah
satu sebab berlaku jurang perbezaan antara murid bandar dengan murid luar bandar
adalah kerana perbezaan
infrastruktur dan kemudahan di sekolah bandar dan luar bandar (Tan
Sri Muhyiddin Yassin, 2010). Tidak dapat dinafikan bahawa capaian kepada
teknologi di kawasan luar bandar adalah lebih rendah berbanding dengan sekolah
di kawasan bandar. Kebanyakan sekolah di luar bandar menghadapi masalah
untuk mencapai kepada teknologi dan internet. Sebaliknya, pelan pendidikan
kita sekarang banyak menekankan kepada teknologi. Menurut kajian Laili Farhana
Md Ibharim, Maizatul Hayati dan Md Nasir (2015), salah satu kemahiran yang
perlu dikuasai dalam pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 ialah kemahiran
maklumat, media dan teknologi. Menurut kajian
Hauzura Mohamed, Hairulliza Mohamad Judi, etc (2012) yang bertajuk Jurang
Digital dan Pendidikan di Luar Bandar menyatakan bahawa jurang digital
merupakan isu yang berterusan di kawasan luar bandar. Masalah jurang digital
boleh menimbulkan keadaan yang buruk jika tidak ditangani dengan betul dan
serius bermula pada peringkat sekolah. Sebagai contoh, bagi sekolah yang di
luar capaian internet atau sekolah yang tidak mempunyai infrastruktur seperti
komputer, para guru terpaksa menggunakan cara pengajaran tradisional ‘chalk and talk’ semasa pengajarannya. Cara
pengajaran ini mungkin akan membosankan murid. Semakin hari semakin lama, golongan
murid-murid ini akan hilang minat untuk belajar maka pencapaian pendidikan
murid akan merosot.
Selain
itu, sekolah-sekolah luar bandar kekurangan tenaga pengajar yang terlatih, terutamanya dalam
mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris (Muhyidin dan Maizura Mohd Yunus
2011). Kebanyakan sekolah di kawasan luar bandar kekurangan guru terlatih dan
sekolah ini terpaksa mengambil guru sandaran yang tidak mempunyai pendedahan
dalam sesi pengajaran serta pendidikan yang khusus dalam sesuatu subjek. Disebabkan
kekurangan pengetahuan terhadap subjek yang diajar, secara langsung akan
menjejaskan prestasi murid-murid. Di samping itu, menurut Utusan Online (2015),
beberapa kawasan pedalaman terutamanya di negeri Sarawak dan Sabah, sistem
pengangkutannya tidak canggih. Kebanyakan murid dan guru terpaksa berjalan
kaki dalam jarak yang agak jauh setiap hari untuk pergi ke sekolah.Alat pengangkutan yang sedia ada juga terhad disebabkan jalan raya di sana tidak diuruskan dengan baik. Oleh sebab kekurangan kemudahan pengangkutan telah menyukarkan murid untuk pergi ke sekolah. Sekiranya murid kerap tidak hadir ke sekolah, mereka akan ketinggalan dalam pelajaran mereka. Secara tidak langsung, mereka akan hilang minat dan tidak sukakan belajar.
![]() |
Rajah 4: Cara-cara murid luar bandar ke sekolah |
![]() |
Rajah 5: Cara-cara murid luar bandar ke sekolah |
Berdasarkan isu-isu di atas, saya terdapat beberapa cadangan agar dapat merapatkan jurang perbezaan pencapaian murid antara bandar dan luar bandar. Cadangan saya yang pertama adalah memperbanyakan infrastruktur di sekolah kawasan luar bandar. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya memberikan peruntukkan tambahan kepada sekolah di luar bandar. Jenis sekolah di kawasan luar bandar biasanya adalah Sekolah Kurang Murid (SKM). Jadi, bilangan infrastruktur yang diperlukan sebenarnya tidak banyak. Pihak KPM sepatutnya menyediakan infrastruktur asas seperti komputer, bekalan internet, visualizer dan juga televisyen di sekolah luar bandar. Cadangan saya yang kedua, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terutamanya dalam daerah luar bandar, perlu menyediakan atau menganjurkan lebih banyak kursus yang berkaitan dengan teknologi terhadap para guru. Kebayankan guru tidak menerapkan teknologi dalam pengajaran mereka kerana kurang mahir dalam bidang ini. Maka, pihak PPD perlulah banyak melatih para guru dari segi kemahiran teknologi dan komunikasi. Dengan menerapkan kemahiran teknologi dalam proses pengajaran, pasti dapat meningkatkan minat murid untuk belajar. Secara tidak langsung, kadar jurang perbezaan pencapaian murid juga dapat dikurangkan.
Cadangan
yang ketiga adalah pihak KPM sepatutnya memberikan motivasi kepada guru terlatih
untuk mengajar di sekolah luar bandar. Kursus
motivasi patut kerap diadakan terhadap bakal guru yang masih belajar di
Institut Pendidikan Guru (IPG). Selain itu, elaun tambahan juga boleh diberikan
kepada guru terlatih yang mengajar di sekolah luar bandar. Dengan adanya
peneguhan, pastilah guru akan lebih bermotivasi dan bersungguh-sungguh untuk
mengajar di sekolah luar bandar. Cadangan saya yang seterusnya adalah
menubuhkan atau memindahkan sekolah di luar bandar ke kawasan perumahan. Sebagai
contoh, sekolah dipindahkan ke kawasan yang mempunyai sekurang-kurangnya 10
orang murid. Melalui cara ini dapat mengurangkan masalah kekurangan pengangkutan
di kawasan luar bandar. Murid-murid dapat berjalan kaki atau menunggang basikal
ke sekolah kerana jarak antara rumah dengan sekolah telah dipendekkan. Akhirnya,
saya bercadang agar para guru mengadakan kelas tambahan di sekolah
masing-masing agar dapat menyelesaikan isu kekurangan kelas tambahan di sekolah
luar bandar. Kelas tambahan boleh diadakan selepas waktu persekolahan. Kelas tambahan
di sekolah bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pencapaian murid, tetapi
juga dapat membantu para guru untuk memastikan murid membuat ulang kaji
terhadap pelajaran mereka.
Secara
kesimpulannya, semua pihak iaitu pihak kerajaan, pihak sekolah, ibu bapa dan
juga para murid mestilah memberikan kerjasama agar isu jurang perbezaan
pencapaian murid antara bandar dan luar bandar dapat diselesaikan dengan
sempurnanya.
Lee Kongdi
M20172001622
Population Distribution and Basic Demographic Characteristic
Report. (2011, Julai 29). Didapatkan April 7,
2018, daripada Department of Statistics Malaysia: https://www.dosm.gov.my/v1/
Arsat Mohd, Mohd Yunus. (2011). Satu Kajian Cabaran
Guru di Sekolah Pedalaman Daerah Muar, Johor, 1-7.
Hazura Mohamed, H. M. (2012). Jurnal Teknologi Maklumat
dan Multimedia Asia- Pasifik. Jurang Digital dan Pendidikan di Luar Bandar:
Tahap Literasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi Pelajar, 39-45.
Kamus Dewan Edisi Keempat.
(t.t). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Laili Farhana Md Ibharim, M. H. (2015). Menerokai
Kemahiran Abad Ke-21 Kanak-kanak dalam Proses Reka Bentuk Permainan Penceritaan
Digital. Journal of Science, Mathematics and Technology, 82-96.
Mazdi Marzuki, J. M. (2014). Mengupas Keciciran pelajar
Orang Asli Malaysia. Malaysian Journal of Society and Space, 189-198.
Mohamad Johdi Salleh, M. K. (2012). Kajian Terhadap
Faktor-faktor mempengaruhi Pencapaian Pelajar Dalam Penilaian Menengah Rendah
di Sabah, 1-10.
Pengarang, M. (2010, Mac 11). Jurang Pencapaian Pelajar
Bandar-Luar Bandar Dalam SPM Masih Ketara. Didapatkan April 3, 2018,
daripada
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2010/03/11/muhyiddin-jurang-pencapaian-pelajar-bandarluar-bandar-dalam-spm-masih-ketara/
Pengarang, W. (2015, Oktober 19). Infrastruktur Lengkap
Mampu Lahir Pelajar Cemerlang. Didapatkan April 3, 2018, daripada Utusan
Sarawak: http://www.utusan.com/opinion/371/INFRASTRUKTUR-LENGKAP-MAMPU-LAHIR-PELAJAR-CEMERLANG/
Safii, A. b. (2017, Mei 19). Kemahiran Pembelajaran
Abad Ke-21. Didapatkan April 7, 2018, daripada Jurnal Kepimpinan:
http://azmanss.blogspot.my/2017/05/kemahiran-pendidikan-abad-ke-21.html
Comments
Post a Comment